PENYELESAIAN STORAN MAYA

PENGGUNA aplikasi Dropbox di internet membolehkan pengguna menyimpan dan menyelaras fail secara dalam talian.

PERNAHKAH anda menyesali kegagalan membawa pemacu pena menyebabkan anda tidak dapat mengakses fail atau dokumen yang anda perlukan? Atau anda mungkin menyimpan fail penting dalam storan telefon pintar tetapi gagal mengaksesnya gara-gara fail yang telah tercemar? Dropbox mungkin jawapan kepada permasalahan ini.

Dropbox merupakan aplikasi di Internet yang membolehkan pengguna menyimpan dan menyelaraskan fail secara dalam talian.

Ia menawarkan ruang simpanan bersaiz dua gigabait (GB) secara percuma dan bagi pengguna berbayar, ia menawarkan ruangan sehingga 100GB.

Aplikasi tersebut mampu melakukan sync atau penyelarasan apa jua format fail pada komputer yang menggunakan platform Linux, Windows mahupun Mac.

Setiap kali fail diubah atau berlaku pertambahan fail baru, ia akan menyelaras secara automatik fail-fail itu.

Dengan aplikasi web tersebut, pengguna juga boleh berkongsi fail dengan hanya beberapa klik sahaja. Mereka yang mengakses dokumen sama boleh melihat dengan serta-merta sebarang penambahan atau perubahan data dibuat pada dokumen berkenaan.

Dalam pada itu, bagi memastikan hanya orang tertentu sahaja boleh mengakses fail yang ingin dikongsi, ciri keselamatan diutamakan dalam aplikasi itu.

Pengguna bukan sahaja boleh mengawal akses fail tersebut, tetapi boleh menarik balik akses mana-mana individu dan membuang fail yang telah dikongsikan daripada komputer mereka.

Ciri yang ditawarkan oleh aplikasi Dropbox amat sesuai dijadikan medium salinan atau sandar bagi membuat salinan pendua fail-fail penting milik kita.

Sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini terhadap komputer, kita hanya perlu menggunakan mana-mana komputer dengan akses Internet dan menyalin fail yang disimpan dalam Dropbox.

Keselamatan fail

Keselamatan fail-fail yang tersimpan menerusi aplikasi itu terjamin kerana ia mempunyai sistem sandar mereka tersendiri.

Dari sudut sekuriti dan privasi pula, kesemua dokumen yang disimpan dienkrip menggunakan sistem enkripsi gred tinggi bagi menyimpan dan memindahkan data milik anda.

Ia menjamin integriti data daripada ancaman penggodam dan anasir lain yang tidak diingini.

Satu lagi ciri unik yang ditawarkan aplikasi itu adalah pengguna masih boleh melakukan apa juga tugasan pada dokumen dalam Dropbox walaupun ketika ketiadaan akses Internet.

Sebaik komputer mempunyai capaian Internet semula, sebarang perubahan pada fail tersebut akan dikemaskini secara dalam talian. Ia turut mempunyai keupayaan untuk menyambung kembali pemindahan fail sekiranya sambungan internet terputus tanpa perlu mengulang keseluruhan proses pemindahan kembali.

Pengguna juga tidak perlu risau kemungkinan aplikasi itu menyebabkan talian internet perlahan kerana pengguna boleh menentukan jalur lebar yang dikehendaki secara manual.

Pengguna telefon pintar seperti iPhone, Android dan BlackBerry juga boleh memanfatkan aplikasi tersebut. Mereka boleh mengakses fail tersimpan dalam aplikasi itu dan juga memuat turun mana-mana dokumen secara luar talian bagi membolehkan fail dilihat tanpa akses Internet.

Gambar dan video yang diambil menggunakan telefon pintar juga boleh disimpan dan dikongsi terus menerusi Dropbox.

Apa yang pasti, Dropbox memberikan pengguna fleksibiliti untuk mengakses dokumen mereka tanpa perlu banyak memikirkan soal keselamatan kerana data yang disimpan di dalamnya dilindungi.

Bayangkan mempunyai pemacu pen maya yang bersama kita di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Untuk Muat Turun Dropbox Sila klik disini

images?q=tbn:ANd9GcRJt3SP_lFuuOywdg1kBovrfA76l9tMZH-iOimYxT3Nbw-nosxu










Make your own free website on Tripod.com